09 March 2016

Kritikan Tidak Berasas Ancaman Terhadap Kestabilan Politik

Malaysia akan berhadapan dengan situasi politik tidak stabil jika tindakan memburukkan kerajaan dan pemimpin negara, yang dibuat tanpa berdasarkan fakta sahih, menjadi satu kebiasaan dan dibiarkan berterusan.

Ramai tidak menyedari kebebasan yang terlalu luas untuk mengkritik kerajaan terutama di media sosial sehingga menjadi viral tanpa mengetahui perkara sebenar, hanya memberi kesan negatif kepada kestabilan politik negara, kata penganalisis politik dan ekonomi.

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata akibatnya ia boleh mencetuskan ketidakstabilan politik dan menyebabkan keyakinan pelabur terjejas, merencatkan kemasukan pelancong asing dan boleh juga menimbulkan risiko pergaduhan antara kaum dan agama.

"Krisis demi krisis akan menjejaskan pembangunan dan ekonomi negara. Situasi seperti Arab Spring boleh berlaku di Malaysia sekiranya ekonomi Malaysia jatuh dan rakyat marah dan memberontak. Ia (Arab Spring) berlaku disebabkan kemiskinan dan pengangguran melampau di kalangan rakyat di dunia Arab," katanya.

STABIL TETAPI BERISIKO

Mohd Azizuddin berkata pada masa ini situasi politik di Malaysia secara umumnya masih stabil tetapi masalah boleh berlaku sekiranya elemen-elemen negatif dibiarkan berleluasa terutama di media sosial manakala kerajaan dan undang-undang negara gagal menanganinya secara berkesan.

"Malaysia melalui Akta Jaminan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia memang menjamin kepada kebebasan ruang siber namun sekatan boleh dilakukan antaranya melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Hasutan 1948 yang berperanan menangani sebarang penyalahgunaan hak bersuara sehingga boleh menjejaskan kestabilan negara.

"Hak kebebasan bersuara yang terlalu bebas sudah semestinya mampu memberi kesan negatif kepada negara misalnya melalui elemen-elemen subversif, ajaran sesat dan fitnah yang tersebar di ruang maya," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kebebasan bersuara yang terbuka terutama melalui media sosial ketika ini adalah fenomena baharu semenjak teknologi maklumat (IT) dan media sosial menjadi medium komunikasi paling dominan bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

GEMAR BERPOLITIK

Ramai berpendapat bahawa kebebasan bersuara menerusi media sosial banyak digunakan oleh golongan yang gemar berpolitik di negara ini untuk mencapai cita-cita dan hasrat politik masing-masing.

Mengakui hakikat bahawa rakyat Malaysia gemar berpolitik, Mohd Azizuddin berkata pemimpin politik pelbagai parti turut menjadi antara punca yang menggalakkan 'politiking' di negara ini.

Natijahnya, apa yang dibimbangkan adalah rakyat tidak dapat menikmati kemakmuran dan hasil pembangunan yang dirancang menerusi dasar-dasar kerajaan disebabkan serangan berterusan yang mengganggu fokus parti pemerintah.

"Saya rasa semua pihak perlu menumpukan kepada agenda membangunkan negara dan mensejahterakan rakyat. Jadi seharusnya politiking ini dikurangkan," katanya.

Beliau berkata dalam kebebasan bersuara, rakyat Malaysia harus sentiasa rasional dan tidak emosional dalam membicarakan isu-isu politik yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti negara.

"Rakyat mesti ada rasa tanggungjawab dan tidak menyalahgunakan media sosial untuk menggugat kestabilan negara. Cara paling baik yang boleh dilakukan ialah melalui interaksi langsung atau 'engagement' lebih kerap antara kerajaan dan rakyat melalui media sosial yang boleh meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan," katanya.

PENGUATKUASAAN TEGAS

Mohd Azizuddin berkata setiap agensi kerajaan khususnya agensi persekutuan perlu mempunyai satu unit IT yang mahir menjawab tohmahan atau kritikan di media sosial secara berfakta dan bijak.

"Malaysia sebenarnya sudah mempunyai undang-undang yang cukup untuk menangani elemen-elemen yang boleh menjejaskan kestabilan negara. Kelemahan Malaysia kini adalah daripada segi penguatkuasaan undang-undang dan sistem penyampaian maklumat yang membolehkan interaksi langsung melalui media sosial dilakukan antara kerajaan dan rakyat," katanya.

Bersependapat dengan Mohd Azizuddin, penganalisis ekonomi, Prof Datuk Mohd Yusof Kasim berkata pihak bertanggungjawab perlu mengawal penularan maklumat dan dakwaan tidak tepat tentang negara.

"Agensi dan kementerian terlibat perlu ambil tindakan segera... kena cepat. Dakwa di mahkamah, kalau tidak orang akan sewenang-wenangnya buat pelbagai dakwaan," kata Mohd Yusof, yang merupakan Pengerusi Lembaga Maktab Koperasi Malaysia.

KESAN KEPADA EKONOMI NEGARA

Mohd Yusof berkata ketika ini banyak isu yang dibangkitkan di media sosial mengenai ekonomi negara dilakukan tanpa berdasarkan fakta tepat, sehingga mencetuskan kekeliruan dan membimbangkan orang ramai.

"Banyak komen seperti ini di media sosial jika dibiarkan berlarutan, akan menyebabkan orang luar memikirkan kita ada masalah (dalam menguruskan ekonomi). Dalam jangka masa panjang, persepsi seperti ini boleh mengganggu kemasukan pelaburan asing," katanya.

Mohd Yusof berkata banyak dakwaan seolah-olah ekonomi negara berada pada keadaan yang teruk sedangkan hakikatnya, asas ekonomi negara semakin baik dan Pelaburan Langsung Asing (FDI) terus meningkat.

"Dalam soal matawang negara (Ringgit) yang jatuh, masalah itu turut dihadapi banyak negara lain. Banyak faktor luaran di luar kawalan kita. Mana-mana kerajaan akan turut menghadapi masalah serupa, cuma bagaimana kerajaan itu bertindak menangani masalah yang ada," katanya.

Mohd Yusof berharap pihak kerajaan, dari semasa ke semasa, perlu tampil memberi penjelasan menjawab dakwaan berkaitan ekonomi negara yang dibangkitkan di media sosial.

"Secara umumnya, jika perkara sebenar berkenaan ekonomi negara tidak dijawab, ia akan memberi gambaran yang tidak bagus mengenai negara," katanya.

BERNAMA: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsperspectives.php?id=1223363

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Artikel. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress