UNCLE LIM DAN DR. MAHATHIR
Keratan akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 5 mac 2016 |
Akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 5 Mac 2016 dalam ruangan Pendapat telah mengulas satu isu politik yang bertajuk ‘Lakukan kecurangan, orang lain rasa serba salah’ yang ditulis oleh Chang Long Yan di muka surat A14. Artikel itu secara keseluruhannya menyentuh tentang kedudukan terkini DAP dalam senario politik negara.
Keadaan politik di negara kita dilihat semakin melucukan apabila ada sesetengah parti yang dikatakan sering berpegang kepada prinsip tetapi apabila tiba saat-saat genting semua prinsip itu ditinggalkan. Ungkapan yang kedengaran hanyalah tiada istilah rakan selama-lamanya, tiada musuh selama-lamanya tetapi yang wujud hanya taktik serta kecurangan.
Selama ini roket (DAP) mahu setiap rakyat Cina di negara ini tahu bahawa merekalah adalah pemegang amanah untuk memperbetulkan UMNO terutama dalam isu rasuah dan salah guna kuasa. Ini bermakna mereka perlu mempergunakan kekuatan yang ada pada tiket pengundi pada setiap pilihan raya umum untuk tumbangkan UMNO.
Bagaimanapun selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) keluar, hanya dua parti sahaja yang menang besar iaitu roket dan UMNO. Taktik curang yang dilakukan oleh roket telah berjaya dan akibatnya ramai orang Cina berputih mata.
Kini roket dan bulan (Pas) telah berpisah namun pada masa sama roket berbuat baik pula dengan puak Erdogan Pas. Mereka ini dikatakan orang Melayu Pas yang bersikap terbuka tetapi hakikatnya golongan ini adalah kumpulan ahli Pas yang kecewa. Mereka inilah juga yang menubuhkan PAN.
Apa yang dimaksudkan dengan orang Melayu Pas yang bersikap terbuka itu. Yang dimaksudkan orang Melayu Pas terbuka adalah mereka yang sering bersama dengan roket serta menjadi rakan kepada roket. Rakan-rakan roket bermakna rakan kepada orang Cina dan itu juga bermakna orang Cina akan percaya kepada PAN sepenuhnya.
Sekarang roket mula nampak Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tahun lalu uncle Lim (Lim Kit Siang) telah melambai tangan kepada Dr. Mahathir dan mahu Dr. Mahathir bersama-sama mengambil bahagian dalam usaha menumbangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bagaimanapun pelawaan itu ditolak oleh Dr. Mahathir. Namun keadaannya sudah berbeza sekarang apabila Dr. Mahathir mula bersahabat dengan uncle Lim.
Uncle Lim mewakili roket dan sudah tentu rakan-rakan uncle Lim semuanya terdiri daripada orang Cina. Dahulu uncle Lim begitu lantang melemparkan kata-kata kesat mencaci Dr. Mahathir secara habis habisan, pada masa sama Dr. Mahathir pula mengutuk uncle Lim sebagai rasis.
Nampaknya, rancangan curang terbaharu roket sekarang adalah untuk meminta orang Cina melupakan kisah silam dan memaafkan Dr. Mahathir. Roket mahu orang Cina melupakan apa sahaja yang kutukan uncle Lim terhadap Dr. Mahathir. Roket meminta segala persengketaan dilupakan.
Persoalannya, adakah orang Cina masih mahu mengambil kesempatan dengan terus menyokong roket? Realitinya sekarang kekuatan politik orang Cina semakin hari semakin parah dan hampir ke peringkat nyawa-nyawa ikan.
ISU PEKERJA ASING
Selain isu politik akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 7 Mac lalu dalam ruangan Pendapat turut menyiarkan artikel yang bertajuk siapa yang menyebabkan rakyat negara ini menganggur?
Isu pekerja asing kini telah menjadi masalah kepada rakyat dan majikan di Malaysia dan pada masa sama turut menjadi punca perbalahan antara kerajaan, majikan serta kesatuan sekerja. Pada mulanya berlaku kebanjiran pekerja asing dari Indonesia kemudian diikuti pekerja asing dari Myanmar, Vietnam dan sekarang berlaku pula kemasukan beramai-ramai tenaga kerja dari Bangladesh.
Ini belum lagi dikira kemasukan kumpulan pekerja asing dari Filipina ke negara kita serta rakyat dari negara China yang mengambil kesempatan membuat jualan lambak di tepi jalan walaupun bilangan mereka itu tidak ramai.
Semuanya ini telah menyekat peluang pekerjaan dan rezeki masyarakat tempatan. Ekoran keadaan yang berlaku itu rakyat semakin gusar tetapi timbul pula perbezaan pandangan dalam kalangan pihak majikan dan industri.
Di pihak industri mereka mahu meningkatkan lagi jumlah pekerja asing manakala masyarakat pula menganggap kemasukan lebih banyak tenaga asing akan merampas peluang pekerjaan dan periuk nasi rakyat tempatan. Lebih malang lagi kemasukan terlalu ramai pekerja asing telah menyebabkan kadar gaji di pasaran semakin rendah.
Memang kita tidak boleh nafikan kemasukan pekerja asing telah merampas periuk nasi kita dan contoh terbaik adalah bidang perniagaan dan penyediaan makanan. Walaupun ada pihak yang menuduh rakyat Malaysia tidak mahu terlibat dengan kerja 3D (kotor, sukar dan bahaya) tetapi bidang perniagaan makanan bukan tergolong dalam sektor tersebut.
Umum mengetahui apabila negara kita berhadapan dengan kelembapan ekonomi sudah pasti akan berlaku pembuangan ramai pekerja. Oleh itu, bidang perniagaan makanan dilihat menjadi pilihan terbaik kepada pekerja-pekerja yang dibuang itu untuk menjana pendapatan selepas hilang pekerjaan.
Apa pun hari ini ramai pekerja asing bekerja di warung makanan bahkan ada sesetengahnya membuka gerai secara kecil-kecilan selepas bekerja bagi meningkatkan pendapatan mereka. Pelanggan-pelanggan mereka adalah terdiri daripada rakan-rakan sekeliling.
Ada sesetengah negeri seperti Pulau Pinang, pekerja asing begitu sinonim sebagai peniaga warung. Atas asas itu kerajaan Pulau Pinang mahu memperketatkan undang-undang khusus untuk melarang pekerja asing daripada melakukan perniagaan namun sehingga kini aktiviti itu masih gagal ditangani sepenuhnya.
Artikel ini turut memetik pandangan seorang pakar ekonomi dari Bank Dunia berhubung isu pekerja asing di Malaysia. Pakar itu berkata, rata-rata rakyat di Malaysia mendapat pendidikan agak tinggi dam situasi itu menyebabkan bilangan tenaga kerja tidak mahir dalam kalangan rakyat ini semakin berkurangan.
Hakikatnya, kehadiran begitu ramai pekerja asing sememangnya telah menutup peluang pekerjaan orang tempatan dan hakikat itu sememangnya satu kenyataan yang tidak boleh dinafikan.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.