11 March 2016

Bahaya Gajet 
Kepada Anak-Anak


IBU bapa zaman sekarang gemar ‘mendidik’ anak-anak mereka untuk menggunakan gajet sejak kecil. Gajet yang dimaksudkan adalah telefon mudah alih, tablet dan iPad. Ini termasuk juga televisyen.

Memang tidak dapat dinafikan penggunaan gajet mempunyai banyak faedah terutama dalam urusan pembelajaran, komunikasi dan jual beli. Namun, teknologi juga memberi kesan negatif terutamanya kepada kanak-kanak jika disalahgunakan dan tanpa pengawasan orang tua.

Berdasarkan pemerhatian saya, sesetengah ibu bapa menggalakkan anak-anak yang berumur enam tahun ke bawah menggunakan gajet semasa di meja makan kerana tidak mahu mereka menangis dan mengganggu semasa makan.

Mengapa jadi begitu? Di manakah sifat tanggungjawab dan kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak? Hilangnya adab semasa makan dek kerana ‘kuasa’ teknologi.

Tetapi yang menyedihkan, ibu bapa sendiri menunjukkan sikap memandang remeh berhubung soal itu. Mereka sendiri mengeluarkan gajet dan ‘hanyut’ dengan teknologi masing-masing semasa di meja makan. Dari segi logik, anak-anak akan perhatikan dan ikut perlakuan ibu bapa mereka.

Ada ibu bapa yang bangga dengan kebolehan anak mereka membuat carian YouTube dan bermain permainan interaktif tanpa dipantau mereka. Ibu bapa menganggap anak-anak berusia bawah enam tahun itu terlalu bijak dan mampu membiasakan diri dengan teknologi moden.
Ibu bapa harus sedar bahawa gajet bukanlah ‘pengasuh’ untuk anak-anak mereka. Sebenarnya anak-anak memerlukan ibu bapa untuk berkomunikasi dan bukan dibiarkan bersendirian merenung imej ataupun animasi di skrin tablet.

Antara keburukan penggunaan gajet adalah anak-anak akan kurang berinteraksi dengan ibu bapa. Sewajarnya anak-anak perlu selalu berkomunikasi dengan ibu bapa dan ahli keluarga untuk membantu perkembangan sosial serta otak mereka.

Kelekaan dengan gajet menyebabkan anak-anak tidak berminat untuk membaca buku pelajaran mahupun buku-buku cerita.

Dengan adanya teknologi yang serba canggih ini, kesihatan dan pembesaran anak-anak akan terganggu. Anak-anak memerlukan sekurang-kurangnya 12 jam waktu tidur setiap hari untuk mereka membesar secara sihat. Anak-anak yang asyik bermain dengan gajet tidak akan menghiraukan waktu tidur mereka.

Seterusnya, anak-anak akan menjadi ketagih kepada teknologi yang semakin maju. Mereka akan menangis dan mengamuk apabila tidak dibenarkan menggunakan tablet mahupun gajet yang lain.

Membiarkan anak-anak dengan alatan moden tanpa kawalan akan mengundang kesan negatif kepada mereka sendiri. Diharap ibu bapa dapat mengambil berat akan isu ini bagi mengelakkan masalah yang tidak diingini dan ingatlah bahawa anak-anak adalah harta paling berharga.

NUR SYAFIQAH ABD. MALIK
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

- Utusan Online Rencana

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2016 Qing Xpress: Artikel. Designed by OddThemes - Published By Qing Xpress