'Deklarasi Rakyat' Tidak Dapat Diterima Akal
Posted by
Unknown
on
11:00 PM
in
|
Biar dilihat dari sudut mana sekalipun, kempen dikenali sebagai 'Deklarasi Rakyat', atau lebih tepat jika disebut "Deklarasi Mahathir", pimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak daripada jawatan Perdana Menteri, tidak dapat diterima akal.
Ia mungkin boleh berhasil di negara yang mengalami pergolakan politik atau protes jalanan secara berlarutan bagi memaksa seseorang pemimpin berundur kerana ketiadaan sistem penggantian pemimpin secara jelas. Tetapi, di Malaysia, ia tidak akan berhasil kerana sistem penggantian pemimpin wujud secara jelas dan ketara.
Lebih hebat tekanan yang ingin dikenakan kumpulan berkenaan untuk cuba memaksa Najib melepaskan jawatannya, maka lebih besarlah peluang mereka untuk menemui kegagalan. Malah, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa kempen mereka telah gagal sejak ia mula dilancarkan lagi.
Dalam pada itu, apa yang mengundang pukulan balas secara besar-besaran daripada seluruh warga UMNO terhadap kempen itu ialah tindakan seteru utama politiknya, DAP, untuk turut menaiki gerabak anti-Najib, yang dipandu Dr Mahathir.
Bagaimanapun, kecekalan Najib dalam menghadapi cabaran terbaru dan "ancaman" terhadap kepimpinannya ini, dapat dilihat dengan jelas oleh setiap orang sejak awal lagi iaitu apabila beliau terpaksa menangani pelbagai isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sepanjang 40 tahun penglibatan beliau dalam politik, Najib belum pernah dilihat bertindak setegas dan sekental sekarang, bermula dengan pemecatan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Julai tahun lepas dan pengguguran Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal daripada Kabinet.
Kedua-dua mereka menjadi duri dalam daging bagi Najib melalui perbuatan mereka mengkritik secara pedas cara pengendalian 1MDB, dan kedudukan Muhyiddin dalam UMNO turut menerima padah apabila minggu leaps, beliau digantung daripada jawatan Nombor 2 dalam parti yang memerintah negara ini bersama rakan gabungannya sejak Malaysia mencapai kemerdekaannya lagi.
Najib, secara tegas dan jelas, menyifatkan langkah Dr Mahathir itu, yang baru-baru ini, keluar daripada UMNO, dan Muhyiddin untuk bersekongkol dengan para pemimpin pembangkang, sebagai "suatu kesilapan besar".
Setelah hilang kedudukan sebagai Timbalan Presiden UMNO berikutan penggantungannya daripada jawatan itu, kini Muhyiddin berdepan pula dengan kemungkinan besar dipecat daripada parti itu berikutan desakan yang semakin hebat agar tindakan itu dikenakan terhadapnya.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyimpulkan dengan tepat melalui pertanyaannya: "Dr Mahathir berkata gabungan yang dibuat itu (dengan pembangkang) adalah semata-mata untuk menyingkirkan Najib bagi menyelamatkan Malaysia.
Untuk menyelamatkan daripada apa??"
Ya, penulis juga ingin mengulangi pertanayaan itu: Untuk menyelamatkan daripada apa? Sekiranya pihak yang ingin menyingkirkan Najib sendiri sedar bahawa mereka tidak akan sekali-kali berjaya untuk berbuat demikian, maka apakah sebenarnya tujuan mereka?
Tidakkah mereka sedar bahawa ketika ini, perkara paling utama bagi negara pelbagai kaum seperti Malaysia, yang amat perlu menjaga pelbagai sensitiviti, ialah memelihara kestabilan politiknya?
Langkah itu menjadi lebih penting ketika ini apabila ekonomi Malaysia diruntun oleh kejatuhan harga minyak mentah dunia, yang sekali gus memberi impak negatif terhadap ringgit.
Keadaan juga kelihatan bertambah suram berikutan laporan media mengenai tindakan pembuangan pekerja dalam sektor swasta secara berleluasa apabila perniagaan mereka terjejas oleh kemelesetan ekonomi.
Kebanyakan rakyat Malaysia mahu meneruskan kehidupan mereka tanpa dijejaskan atau diganggu-gugat oleh krisis baharu ciptaan manusia. Semua pihak perlu menyedari perkara ini. Cukuplah dengan apa yang telah berlaku.
Tan Sri Dr James Masing, presiden Parti Rakyat Sarawak dan menteri kanan negeri itu, secara tepat berkata: "Kasihan kepada kumpulan yang mengelilingi Dr Mahathir. Mereka hampir lesu. Ia tak ada kena mengena dengan menyelamatkan negara."
Menurut beliau, pakatan bercelaru ini akan singkat umurnya. Jelas beliau:
"Apabila hilang kemarahan dan akal kembali berkuasa, mereka akan nampak perkara sebenar mengenai Dr Mahathir serta agendanya dan beliau akan keseorangan untuk merawat lukanya".
Semoga ia tidak sampai ke peringkat itu. Untuk mengelak perkara memilukan itu daripada berlaku, maka lebih cepat Dr Mahathir sedar akan perbuatan sia-sia itu, maka lebih baiklah bagi diri beliau.
BERNAMA: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsperspectives.php?id=1223027
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.